Bangunan PTG Indera Mahkota,
25990 Kuantan

+6 (09) 571 2600
ptgphg@pahang.gov.my

Hits: 109

Soalan 1 : Apa itu hak milik strata?

Jawapan :

Merupakan hak milik yang dikeluarkan kepada setiap unit/petak yang telah dijual bagi:

pembangunan hartanah yang berbilang tingkat (cth: kondominium, apartment, rumah pangsa, kompleks perniagaan, town house dan sebagainya); dan

pembangunan hartanah yang mempunyai kawasan persendirian (cth : skim komuniti berpagar (GACOS))

Soalan 2 : Apa itu harta bersama?

Jawapan :

Harta bersama merujuk kepada mana-mana bahagian lot yang tidak terkandung dalam mana-mana petak. Contoh :

  1. Pondok pengawal keselamatan
  2. Tangki utama
  3. Bumbung bangunan
  4. Taman permainan
  5. Lanskap
  6. Lif
  7. Tangga
  8. Kolam renang
  9. Tempat letak kereta awam; dan sebagainya

Bangunan dan harta bersama ini perlu diselenggara dan diurus dengan sempurna oleh Perbadanan Pengurusan (Akta Hak Milik Strata 1985).

Soalan 3 : Bilakah permohonan untuk hakmilik strata perlu dipohon?

Jawapan :

Tuan tanah diwajibkan membuat permohonan hakmilik strata dalam tempoh yang ditetapkan. Jika beliau telah menjual mana-mana petak dalam bangunan berbilang tingkat yang telah didirikan, tempoh yang dimaksudkan adalah 6 bulan dari tarikh perjanjian jualbeli pertama atau 6 bulan dai tarikh  Sijil Layak Menduduki (C.F.), mengikut mana-mana yang terakhir.

Perhatian : Jika tuan tanah tidak menjual mana-mana petak, permohonan hakmilik strata adalah tidak diwajibkan.

 

Soalan 4 : Apakah yang dimaksudkan dengan petak?

Jawapan :

Petak di dalam skrin strata, bermaksud unit di dalam satu bangunan yang mana hakmilik strata didaftarkan.

 

Soalan 5 : Apakah yang dimaksudkan dengan petak aksesori?

Jawapan :

Petak aksesori merupakan petak-petak lain di dalam satu skim strata yang digunakan secara eksklusif oleh satu petak yang mana hakmilik strata itu didaftarkan. Contohnya ialah tempat letak kereta yang digunakan oleh pemilik petak tertentu sahaja.

 

Soalan 6 : Bolehkah petak aksesori dijual berasingan?

Jawapan :

Petak aksesori tidak boleh dijual berasingan atau pun didaftarkan secara berasingan sebagai datu hakmilik strata. Walaubagaimanapun pengubahsuaian boleh dibuat didalam keadaan-keadaan berikut :-

1. Bagi permohonan yang belum mengemukakan permohonan hakmilik strata:

  • iaitu membuat tambahan / ubahsuai (renovation) ke atas petak yang telah siap dibina boleh dipertimbangkan untuk kelulusan menurut seksyen-seksyen yang berkaitan dalam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

2. Bagi permohonan yang telah mendapat hakmilik:

  • iaitu tiada apa-apa tambahan / ubahsuai boleh dibuat ke atas mana-mana bangunan yang telah dikeluarkan / didaftar hakmilik strata dibawah Akta Hakmilik Strata 1985;

3. bagi permohonan yang belum mendapat hakmilik strata tetapi permohonan memecah bahagi bangunan dbawah Seksyen 10 Akta Hakmilik Strata 1985 telah dikemukakan dan hanya menunggu proses kelulusan:

  • iaitu permohonan bloleh dipertimbangkan untuk kelulusan tetapi dengan syarat  permohonan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada Unit Strata Pejabat Tanah dan Galian Pahang dengan mengemukakan dokumen-dokumen berikut:-
  1. salinan dokumen hakmilik tanah
  2. surat kebenaran daripada pemaju membenarkan pengubahsuaian dilakukan
  3. salinan sijil layak menduduki bangunanSebelum dipanjangkan kepada Pengarah Ukur untuk tindakan pengubahsuaian pelan-pelan strata yang terlibat.

Soalan 7 : Apakah yang dimaksudkan dengan unit syer?

Jawapan :

Unit syer merupakan jumlah syer bagi tiap-tiap petak semasa pecah bahagian bangunan dibuat dan didapati oleh PTG sebagai saksama (equitable) apabila beliau meluluskan pecah bahagian bangunan tersebut.

Soalan 8 : Apakah hak pemilik sebagai pemilik petak?

Jawapan :

Mempunyai kuasa-kuasa sebagai seorang pemilik berhubung dengan petaknya untuk tujuan urusniaga / bukan urusniaga sebagai pindahmilik, gadaian, cagaran, pembahagian pesaka dan sebagainya;

  1. Hak mendapat sokongan, perkhidmatan dan perlindungan bagi petaknya;
  2. Hak mengundi di Mesyuarat Agung Tahunan dan di Mesyuarat Agung Luar Biasa;
  3. Hak ke atas Harta Bersama mengikut unit syer yang diperuntukkan kepada petaknya.
  4. Hak kepada sokongan, perkhidmatan seperti bekalan air, pembentungan, sistem perparitan, bekalan elektrik, pungutan sampah dan lain-lain lagi.
  5. Hak untuk meneliti rekod dan akaun Perbadanan Pengurusan.
  6. Hak ke atas keuntungan dari hasil jualan tanah sekiranya pecah bahagian bangunan ditamatkan dan tanah dijual.

 

Soalan 9 : Apakah larangan terhadap pemilik petak?

Jawapan :

Seseorang pemilik petak dilarang:

  1. Menggunakan petak untuk maksud yang menyalahi undang-undang yang boleh merosakkan nama baik bangunan itu.
  2. Menggunakan bahan api yang mendatangkan asap atau bau yang busuk.
  3. Membuang sampah atau menjatuhkan apa-apa kotoran sampah.
  4. Memelihara apa-apa binatang dalam petaknya yang menyebabkan kemarahan pemilik petak lain.

 

Soalan 10 : Apakah tanggungjawab utama pemilik petak?

Jawapan :

Setiap pemilik petak bertanggungjawab untuk :-

  1. Bayar caruman kepada Kumpulan Wang Pengurusan ('Management Fund');
  2. Mematuhi undang-undang kecil ('bylaws') yang terkandung dalam Jadual Ketiga, Akta Hak Milik Strata dan undang-undang kecil tambahan yang diluluskan oleh Perbadanan Pengurusan;
  3. Menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan dan Luar Biasa yang dipanggil oleh Perbadanan Pengurusan; dan
  4. Mematuhi apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa awam / tempatan berhubungan dengan petak yang dimiliki.

 

Soalan 11 : Apakah tindakan yang boleh diambil ke ayas pemilik petak sekiranya enggan membayar caruman kumpulan wang pengurusan?

Jawapan :

Sekiranya pemilik petak enggan membayar caruman kumpulan wang pengurusan, petak tersebut boleh disita dan dibuat penahanan alih harta. dan sekiranya anda seorang penyewa, anda boleh menolak bayaran dan berhutang daripada sewa yang harus dibayar kepada pemilik.

 

Soalan 12 : Apakah itu Kumpulan Wang Pengurusan (Management Fund)?

Jawapan :

Kumpulan Wang Pengurusan ini diuruskan oleh perbadanan pengurusan dan semua bayaran dibuat kepadanya. Ia termasuk yuran pengurusan / caj perkhidmatan harta bersama, premium insuran kebakaran dan lain-lain.

 

Soalan 13 : Adakah cukai pintu termasuk di dalam Kumpulan Wang Pengurusan?

Jawapan :

Cukai pintu tidak termasuk di dalam Kumpulan Wang Pengurusan. Cukai pintu adalah cukai taksiran yang dikenakan terus kepada pemilik-pemilik petak oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Contohnya Majlis Perbandaran Kuantan untuk Daerah Kuantan atau Majlis Daerah Pekan untuk Daerah Pekan. Ia adalah kemudahan yang dibekalkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan seperti menjaga kebersihan, mengutip sampah, menyelenggara jalanraya dan sebagainya.