Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%

Berita

Kursus Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan


Unit Audit Pengurusan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang telah menganjurkan Kursus Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan Tahun 2025 pada 3 hingga 5 Jun 2025 bertempat di Bilut Hills Eco Resort, Raub. Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran para peserta dalam penghasilan dokumen rasmi kerajaan yang lebih sistematik, tepat dan selari dengan etika penggunaan bahasa sektor awam.

Penceramah jemputan ialah Encik Saruchi bin Sawal, Munsyi Dewan dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga merupakan pesara Pegawai Pendidikan di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang. Sepanjang kursus, peserta didedahkan dengan pelbagai aspek penting dalam penulisan rasmi termasuk penggunaan tatabahasa yang betul, struktur ayat yang tepat serta amalan terbaik dalam penulisan dokumen rasmi kerajaan. Penekanan turut diberikan terhadap pembetulan kesilapan lazim yang sering berlaku dalam dokumen rasmi selain latihan dalam kumpulan.

Kursus ini telah disertai oleh 35 orang peserta dari pelbagai unit di Pejabat PTG Pahang. Mereka memberikan respon yang sangat positif kerana kursus ini bukan sahaja memberi ilmu baharu, malah membantu membetulkan amalan penulisan sedia ada yang kurang tepat. Pihak urus setia turut menganjurkan aktiviti luar iaitu menghilir anak sungai dan mendaki bukit di sekitar kawasan Belut Hills untuk memberikan nilai tambah dari segi kesihatan dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta.

Secara keseluruhannya, Kursus Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan Tahun 2025 ini telah berjaya mencapai objektifnya dan memberi impak yang besar kepada peserta. Pejabat PTG Pahang berharap agar penganjuran kursus seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai satu usaha memperkukuh profesionalisme warga kerja jabatan.