Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%

Berita

Majlis APC Pejabat PTG Pahang Tahun 2024

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang Tahun 2024 telah berlangsung dengan penuh meriah pada 10 Oktober 2025 bertempat di Hotel Ancasa Royale, Pekan. Majlis yang diadakan pada jam 8.00 malam itu turut dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Nazri bin Abu Bakar, Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, YH. Dato' Hamdan bin Hussin, serta Pegawai Daerah Pekan, Tuan Azora @ Ahmad bin Shamsudin.
 
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Tanah dan Galian Pahang, YH. Dato' Razihan bin Adzharuddin, diikuti dengan penyampaian amanat oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang. Dalam amanatnya, beliau menyeru agar Pejabat PTG Pahang terus memperkukuh usaha meningkatkan hasil kerajaan negeri dan memastikan tadbir urus pengurusan tanah di Negeri Pahang dilaksanakan dengan lebih cekap dan berintegriti.
 
Antara pengisian utama majlis ialah penyampaian sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 16 orang penerima dan Anugerah Khas Prestasi (AKP) kepada 8 orang penerima. Anugerah Khas Prestasi merupakan pengiktirafan julung kali diperkenalkan bagi menghargai kakitangan yang memperoleh markah penilaian melebihi 95%. Turut disampaikan ialah sijil penghargaan kepada 3 orang pesara tahun 2025, 4 orang kakitangan yang telah berkhidmat selama 30 tahun, serta 36 orang kakitangan yang telah bertukar dalam tempoh Disember 2024 hingga Oktober 2025.
 
Majlis yang diadakan ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja yang cemerlang, malah menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat kecemerlangan dan dedikasi dalam kalangan seluruh warga Pejabat PTG Pahang. Ia juga mencerminkan komitmen jabatan dalam mengiktiraf sumbangan dan jasa setiap kakitangan ke arah memperkukuh sistem pentadbiran tanah negeri secara menyeluruh.
  • Hits: 1452