Kejohanan SUKTAP Ke VI Tahun 2025
Kejohanan Sukan Pentadbiran Tanah dan Daerah Negeri Pahang (SUKTAP) Ke VI Tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh semangat kesukanan pada 17 hingga 19 Oktober 2025 bertempat di Indoor Arena IIUM Kuantan, Kampus Indera Mahkota. Kejohanan dwi-tahunan ini menghimpunkan penyertaan daripada 11 Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh negeri Pahang serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, menjadikannya antara acara terbesar dalam kalangan warga pentadbiran tanah negeri.
Bagi edisi kali ini, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan melalui Kelab Kebajikan Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan (PETANDA) telah diberi mandat sebagai tuan rumah. Sebanyak 13 acara sukan telah dipertandingkan sepanjang kejohanan berlangsung termasuk beberapa acara yang dijalankan lebih awal seperti golf, bola sepak dan e-Sport. Majlis perasmian pembukaan telah diadakan pada 17 Oktober 2025 dengan penuh meriah disertai perbarisan kontinjen dari setiap jabatan yang mengambil bahagian.
Pejabat PTG Pahang melalui Badan Kebajikan & Sukan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang (PETALIAN) telah menghantar kontinjen seramai 142 orang peserta yang menyertai kesemua 13 acara sukan yang dipertandingkan. Kontinjen PETALIAN diketuai oleh Encik Isma Masri bin Ismail selaku Ketua Kontinjen yang turut mengetuai perbarisan pada majlis perasmian. Penyertaan yang besar ini mencerminkan semangat kesatuan dan komitmen tinggi warga PTG Pahang dalam mendukung semangat kesukanan serta memperkukuh hubungan antara jabatan.
Dalam kejohanan ini, PETALIAN berjaya menyumbang lebih mata melalui beberapa acara iaitu tempat ketiga bagi e-Sport, tempat kedua bagi batu seremban, dan tempat ketiga bagi bola tampar. Secara keseluruhannya, SUKTAP 2025 telah membuktikan bahawa sukan bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga menjadi wadah penyatuan, mengerat kerjasama dan menjalin ukhuwah dalam kalangan seluruh warga pentadbiran tanah dan daerah di negeri Pahang.
- Hits: 1634


