Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%

Berita

Lawatan Penandaarasan Pelaksanaan Sistem e-Tanah ke Pentadbiran Tanah Negeri Terengganu

  • Gambar 1:
  • Gambar 2:

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang telah mengadakan Lawatan Penandaarasan Pelaksanaan Sistem e-Tanah ke Pentadbiran Tanah Negeri Terengganu pada 19 hingga 20 Julai 2026 bagi mendapatkan pendedahan serta perkongsian pengalaman dalam pelaksanaan Sistem e-Tanah.

Delegasi PTG Pahang diketuai oleh Puan Amilia Suraya binti Muhammad Arif, Timbalan Pengarah (Pembangunan) Pejabat PTG Pahang dan disertai oleh lebih 70 orang pegawai serta kakitangan daripada Pejabat PTG Pahang bersama wakil daripada 11 Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh negeri Pahang.

Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan perkongsian pengalaman Pentadbiran Tanah Negeri Terengganu dalam pelaksanaan Sistem e-Tanah, mempelajari amalan terbaik berkaitan pengurusan, penyelenggaraan dan operasi sistem, mengenal pasti cabaran serta langkah mitigasi yang dilaksanakan sebelum dan sepanjang pelaksanaan sistem, di samping memahami keperluan dalam penyediaan Business Requirement Specification (BRS) melalui perkongsian ilmu dan pengalaman.

Pada 19 Julai 2026, delegasi telah mengadakan lawatan ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu. Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Dato' Ab Rasid bin Jusoh, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu. Seterusnya, sesi pembentangan mengenai pelaksanaan Sistem e-Tanah telah disampaikan oleh Encik Muhammad Hafizol bin Husain, Pegawai Teknologi Maklumat. Delegasi kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi menyertai lawatan dan demonstrasi di unit-unit yang terlibat dengan pelaksanaan Sistem e-Tanah, termasuk demonstrasi pengoperasian kaunter Single Point of Contact (SPoC) dan kiosk perkhidmatan.

Pada 20 Julai 2026, lawatan diteruskan ke Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu. Delegasi telah disambut dengan ucapan aluan oleh Encik Mohd Fadli bin Ngah, Pentadbir Tanah Hulu Terengganu. Sesi pembentangan mengenai pelaksanaan Sistem e-Tanah di peringkat Pejabat Daerah dan Tanah telah disampaikan oleh Puan Hajah Nur Kamilah binti Hamzah dan Encik Thalhah Ubaidillah bin Ab Rahim. Delegasi sekali lagi dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi mengikuti lawatan serta demonstrasi ke unit-unit berkaitan, kaunter Single Point of Contact (SPoC) dan kiosk perkhidmatan sebelum program berakhir pada jam 2.00 petang.

Lawatan penandaarasan ini telah memberikan pendedahan yang menyeluruh kepada delegasi PTG Pahang mengenai aspek pelaksanaan, pengoperasian dan pengurusan Sistem e-Tanah yang diamalkan oleh Pentadbiran Tanah Negeri Terengganu. Perkongsian pengalaman serta amalan terbaik yang diperoleh sepanjang lawatan ini diharap dapat dimanfaatkan sebagai rujukan dalam usaha memperkukuh perancangan dan pelaksanaan projek Sistem e-Tanah di Negeri Pahang, sekali gus menyokong agenda transformasi pendigitalan penyampaian perkhidmatan pentadbiran tanah yang lebih cekap, sistematik dan berkesan.

  • Hits: 1042