Bantuan Kebolehcapaian

  • Skala paparan 100%
  • Size teks 100%
  • Jarak barisan 100%
  • Jarak tulisan 100%

Pengumuman

Pengumuman: Kenyataan Media YAB Menteri Besar (30/07/2026)


KERAJAAN NEGERI MINTA ORANG RAMAI WASPADA SINDIKET PENIPUAN URUSAN PERMOHONAN TANAH

Kerajaan Negeri Pahang telah mengesan satu sindiket penipuan urusan permohonan tanah di daerah Bentong yang melibatkan tanah milik Kerajaan Negeri. Sindiket ini dikesan menawarkan urusan pemberimilikan tanah dengan meminta orang ramai membuat bayaran serta menandatangani dokumen sebelum proses pemberimilikan dilakukan.

Adalah ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri tiada melantik mana-mana individu, ejen ataupun syarikat untuk menjalankan urusan pemberimilikan tanah Kerajaan Negeri di luar prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang. Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan memperdaya rakyat atau menyalahgunakan nama Kerajaan Negeri, dan tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang bayaran, menandatangani dokumen atau melakukan apa-apa urusan berkaitan tanah tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang atau Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan. Orang ramai yang merasakan dirinya tertipu diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Kerajaan Negeri Pahang kekal komited memastikan setiap urusan pentadbiran tanah dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi undang-undang. Semak dahulu, jangan mudah percaya dan jangan sesekali menjadi mangsa penipuan.

YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR PAHANG DATO' SRI DIRAJA HAJI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL 30 Julai 2026

Sila layari pautan  di sini untuk keterangan lanjut.